Pejabat Google Tercanggih Di Dunia
GOOGLE perlukan juruteranya untuk mencetuskan idea-idea pintar. Oleh itu, suasana kerja seperti di rumah siri Big Brother di harap dapat membantu mereka berbuat demikian.
Ibu pejabat syarikat enjin pencarian Internet terkemuka di London yang terletak di Victoria itu, mempunyai tiga tingkat. Bagaimanapun, sebahagian daripada 350 kakitangannya mula bekerja dari minggu lalu di tingkat kejuruteraan yang disusun semula. Ianya dipanggil L4, antara pejabat paling canggih di dunia.
Bilik mesyuaratnya dilengkapi sofa bersegi ganjil, koridornya kelihatan seperti di dalam kapal angkasa Enterprise. Dan pekerjanya boleh bermain snuker dan permainan video ketika waktu rehat.
Nelson Mattos, Naib Presiden Kejuruteraan Google berkata: “Kami menggunakan khidmat jurutera terbaik dan paling pintar di Britain dan menempatkan mereka bersama dalam suasana yang mempunyai ciri kreativiti, santai dan paling menyeronokkan.”
Ketika Google merancang untuk bina pejabat baru, mereka mulakannya dengan di atas kanvas kosong. Semua dinding diruntuhkan dan perabot dikeluarkan. Kemudian, impian memiliki pejabat yang unik diatur dan dijelmakan bagi memastikan kakitangan mereka berada di tahap kepuasan tinggi.
Jelas, idea menjadi bahagian terpenting untuk bekerja di Google dan pejabat baru itu memiliki ruang secukupnya untuk mereka melakar idea kerana sebahagian dinding koridor juga turut dilengkapi dengan papan putih yang besar.
Untuk pastikan jurutera mereka tidak kekeringan idea, makanan dan minuman secukupnya sentiasa disediakan. Ada ‘makmal kopi’ yang menyediakan 19 jenis minuman kopi dan empat restoran yang menyediakan makanan, termasuk tapas (makanan Sepanyol) dan sushi. Dan pekerja tak perlu risau mengenai harga kerana semuanya percuma.
Terdapat juga gimnasium, bilik muzik kalis bunyi dengan dram dan gitar serta bilik permainan dengan meja snuker, konsol video dan sebuah televisyen besar.
Malah, pejabat Google itu turut menawarkan versi tersendiri taman Big Brother, lengkap dengan kerusi santai, permaidani yang menyerupai rumput serta sampan.
Pejabat yang santai dan ganjil tidak menjejaskan kepintaran dan kebijaksanaan. Pengalaman kami buktikan suasana selesa, terbuka dan seronok dapat tingkatkan kreativiti dan keterbukaan.
Ruangan terbuka berikan lebih banyak peluang untuk berinteraksi dan ia mendorong tercetusnya idea lebih hebat. Sebahagian besar produk kami datang daripada kumpulan yang tak mempunyai hubung-kait tapi temui sesuatu mengenai kerja masing-masing menerusi perbincangan mengenai pendekatan terbaru.
Syarikat ini berminat menunjukkan bahawa pejabat mereka di London sangat penting dalam operasi globalnya. Kakitangannya bertanggungjawab mencipta sebahagian besar aplikasi popular Android dan iPhone.
Pencarian suara, pencarian tempatan penyendirian dan elemen penyemak imbas semuanya dihasilkan di London. Sudah tentu tidak ada kakitangan di pejabat itu mahu disingkirkan.
![]()
Bisnes Internet Wanita
on Google+
facebook comments:














