Bisnes Kuih Talam
MASIH kuat dalam ingatan Basharah Mustafa, 57, bagaimana dia pengsan akibat kepenatan kerana begitu tekun menyiapkan tempahan kuih talam pelanggannya. Jadual hariannya begitu padat. Seawal pukul 4 pagi dia sudah sibuk di dapur menyiapkan tempahan yang akan diambil oleh pelanggan, sebelum dia ke tempat kerja dalam pukul 7 pagi.
Pulang ke rumah pada sebelah petang, dia masuk ke dapur lagi untuk menyiapkan tempahan-tempahan lain yang tak pernah surut.
“Kadang-kadang saya tidur pukul 2 pagi dan bangun semula pukul 4 pagi, sebab tulah sampai pernah pitam jadinya” kata Basharah menceritakan pengalamannya menjalankan bisnes kuih talam hampir sedekad lalu.
Basharah akhirnya dapat merehatkan badan dan menghadkan tempahan pelanggan, sejak dia bersara sebagai pegawai bank setahun lalu.
“Dulu, walaupun punyai pekerjaan tetap saya buat juga kerja sambilan mengambil tempahan kuih talam kerana minat memasak dan ingin menambah pendapatan.
“Dan bila tiba bulan puasa, saya akan berniaga kuih talam di bazar Ramadan,” katanya yang kini menetap di Kampung Tasik Tambahan, Ampang.
Kini Basharah menghadkan tempahan kepada 25 dulang sehari saja kerana dah tak bertenaga seperti masa muda-muda dulu.
“Kadang-kadang bila banyak sangat tempahan, saya tak larat menyiapkannya, jadi saya minta jiran-jiran ambil alih tempahan.
“Di sekitar kawasan perumahan ini, ada beberapa peniaga lain juga yang mengambil tempahan kuih talam, malah kami bertukar-tukar bahan mentah sekiranya kehabisan stok,” katanya.
Menceritakan pembabitannya dalam bisnes kuih talam dari rumah, Basharah memberitahu, dia mengikuti kelas membuat kuih talam pada tahun 2001 dan turut mempelajari pelbagai resipi kuih talam moden.
“Zaman dulu tak banyak pilihan kuih talam tetapi kini terdapat lebih 40 jenis kuih talam yang boleh dipelajari. Antara jenis kuih talam moden hari ini ialah talam mentega kacang, talam cendol, talam skoteng dan talam Tokyo,” katanya.
Kalau dulu nenek dan ibu Basharah tidak menggunakan sukatan tetap untuk membuat sedulang kuih talam, kini sukatan dalam gram menjadi elemen penting bagi memastikan rasa kuih talam tidak berubah dan sentiasa menjadi.
“Semua resipi ini mempunyai sukatan tetap. Saya pernah mencuba membuat kuih talam mengikut sukatan agak-agak tetapi ada yang menjadi dan ada yang kurang menjadi seperti terlebih keras atau terlalu lembut,” katanya.
Ketika Basharah baru memulakan perniagaan ini, dia mengubah serba sedikit resipi yang dipelajari terutama kuantiti timbangan bahan-bahan masakan untuk disesuaikan dengan cita rasanya.
“Sebagai peniaga, kita nak berikan yang terbaik dan rasa yang paling enak. Tapi sukatan tetap penting kerana kita tak dapat rasa kuih yang dipesan pelanggan sebelum menyerahkannya.
“Sekiranya pelanggan berpuas hati, mereka akan terus memesan kuih dari kita,” katanya yang menerima kira-kira lima dulang kuih talam sehari pada hari-hari biasa dan boleh mencecah 25 dulang pada hujung minggu.
Keuntungan
Menurut Basharah, dia memperoleh pendapatan lebih RM27,000 sepanjang tahun ini hanya dengan menjual kuih talam.
“Masih ramai pelanggan yang suka menempah kuih talam tradisional seperti talam seri muka, kole kacang, talam keladi dan talam gula merah tapi tak kurang juga pelanggan yang suka mencuba rasa kuih talam moden seperti talam berlauk, talam cendol, talam Tokyo dan talam serunding.”
Lizzuin Latif, 32, seorang lagi pengusaha kuih talam dan kek, turut mengikuti kelas masakan untuk mendalami resipi membuat kuih talam moden. Namun dia tetap menggunakan resipi neneknya untuk membuat kuih talam tradisional.
“Nenek saya mengajar saya cara-cara buat kuih talam semasa saya masih sekolah lagi. Kuih talam yang siap dimasak bukan sahaja untuk hidangan keluarga tetapi turut dihantar ke surau berdekatan.
“Kuih talam tradisional yang saya pelajari daripada nenek memang berbeza dengan kuih talam moden kerana kuih talam dulu-dulu banyak menggunakan santan dan kurang tepung, tetapi kini sebaliknya.”
Kebanyakan tempahan kuih talam yang diterimanya ialah kuih talam mentega kacang, talam seri muka, talam Tokyo, talam kuih bakar, talam seri muka durian dan tepung pelita.
Penggemar kuih talam masa kini gemarkan kuih talam tradisional dan suka juga mencuba kuih talam moden. Peniaga sebenarnya boleh mencuba pelbagai resipi kuih talam, mengikut idea mereka sendiri asalkan ramuan asas seperti kuantiti santan, gula dan tepung dikekalkan.
Walaupun Lizzuin menjalankan perniagaan dari rumah, pelanggannya bukanlah semata-mata rakan sekerja suaminya atau penduduk berdekatan.
“Dengan teknologi internet yang ada hari ini, kebanyakan pengusaha makanan dari rumah menggunakan kelebihan itu untuk memasarkan produk mereka.
“Saya juga menerima hampir kesemua tempahan melalui laman web saya, selepas dua tahun menjalankan perniagaan dari rumah,” katanya lagi.
![]()
Bisnes Internet Wanita
on Google+
facebook comments:













